Pengenalan
Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam pembelajaran. Sewaktu seorang guru berada di sekolah, beliau akan menghabiskan sebahagian besar masa di dalam bilik darjah. Bilik darjah merupakan tempat dimana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Oleh itu, bilik darjah ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru.
Pengurusan bilik pembelajaran pula merujuk kepada proses perancangan, perorganisasian dan kawalan pelajar serta proses pembelajaran untuk memastikan suasana yang berkesan. Guey R. Lefroncis (1999) menyatakan pengurusan bilik pembelajaran merupakan sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang dengan tujuan memudahkan cara pengajaran danpembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah, merangkumi, tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan memperuntukkan masa pelajaran. Richards (1990) pula menyatakan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Pembelajaran
Faktor Fizikal
Faktor fizikal merupakan faktor yang merangkumi penyusunan kerusi dan meja murid di dalam kelas. Murid-murid disusun mengikut kumpulan. Ini akan memudahkan interaksi antara murid dengan guru dan guru dengan murid. Bilik pembelajaran yang dihiasi dan diatur dengan kemas dan cantik seperti carta, poster dan gambar akan menggalakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ruang yang cukup pula akan memudahkan untuk murid-murid bergerak dan memberi keselesaan untuk para murid menjalankan aktiviti kumpulan atau permainan.
Faktor Sosial dan Emosi
Faktor sosial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang diwujudkan memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat. Emosi pula melibatkan gaya kepimpinan. Ini dapat mengawal murid melalui hukuman.
Peranan Guru dalam Bilik Pembelajaran
Seorang guru mempunyai peranan yang besar dalam mengurus bilik pembelajaran untuk memastikan suasana bilik darjah bersifat kondusif dan selesa yang sesuai semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilalukan. Tdak dinafikan, peranan guru begitu sukar. Seorang guru wajib untuk mempelajari atau mengenali murid yang berada di bilik darjahnya. Guru wajib untuk mengetahui bukan sahaja nama muridnya tetapi lebih dari itu seperti latar belakang muridnya seperti ibu bapa murid. Kerja guru untuk merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dengan memiliki maklumat tersebut. Selain itu, guru juga merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran bilik darjah hendaklah kondusif dan menarik. Soal lampu atau kipas yang tidak berfungsi haruslah tidak dipandang rendah. Masalah seperti ini akan mengganggu tumpuan murid semasa aktiviti pembelajaran dijalankan. Hiasan bilik darjah dan soal kebersihan juga perlu diberi perhatian bagi menjamin keselesaan murid.
Gaya Pembelajaran yang perlu Diketuai oleh seorang Guru
- Auditori iaitu belajar dengan gaya mendengar). Pelajar lebih cenderung menggunakan pendengaran sebagai saranan dalam mencapai keberhasilan dalam belajar. Gaya belajar auditori bersifat eksternal dengan cara mengeluarkan suara atau bunyi. Mereka dapat belajar dengan cara merakam, perbincangan, mendengar muzik atau kerja berkumpulan.
- Visual iaitu belajar secara melihat. Seseorang yang memiliki gaya belajar visual cenderung belajar melalui hubungan penglihatan. Ia menggunakan material atau media yang boleh dilihat atau memberi pendapat melalui pemerhatian. Contoh material ialah buku, poster, majalah, rangka tubuh manusia, peta dan lain-lain.
- Kinestetik iaitu beajar dengan cara bergerak, bekerja atau menyentuh. Orang yang mempunyai gaya belajar kinestetik akan belajar melalui gerakan yang berserta informasi kemudian akan menyimpannya ke dalam kotak fikiran. Penyentuhan dengan objek sangat digemari kerana ia boleh dirasai oleh diri. Gaya pembelajaran ini melibatkan kegiatan fizik, menghasilkan model, berjalan dan pergerakan.
Kesimpulan
Pengurusan bilik pembelajaran yang baik akan berlaku dengan adanya perancangan. Jadi, pengurusan bilik darjah adalah tugas yang penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum untuk memperoleh kesan yang maksimum. Sebelum menjejakkan kaki ke dalam bilik darjah, guru-guru hendaklah mendapatkan maklumat yang secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu. Persediaan JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek)yang lengkap akan membolehkan para guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan jaya, ceria dan cemerlang.
Comments
Post a Comment