TOPIK 4 - PENGURUSAN MURID
Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Tajuk ini membincangkan bagai mana pengurusan yang khusus kepada pelajar yang berkeperluan khas (Pelajar Pelbagai Upaya). Program-program pendidikan yang menggunakan kaedah-kaedah khusus dan sesuai untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial individu-individu yang berkeperluan khas, khususnya pelajar cerdas yang memiliki pelbagai upaya.
PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA (PEMULIHAN)
Satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid-murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai menjadi Fokus Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dikuasai di peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat atau ‘terkebelakang’ menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya.
Matlamat
Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dapat dikuasai dalam tempuh masa yang ditetapkan.
Takrifan
Menurut AE Tanseley dan R. Culliford,“ kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa, ”.Menurut M. F . Clough pula,“ kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. ”
Ciri-Ciri Kanak-Kanak Pemulihan
1. Emosi dan Tingkah laku
- Perasaan rendah diri
- Perasaan risau.
2. Sosial
- Gelisah dan selalu bergerak di dalam darjah serta mengganggu kawan-kawan.
- Lemah / kurang interaksi dengan rakan.
3. Kesihatan
- Lemah tubuh badan serta kurang zat makanan.
- Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus).
4. Kesediaan Belajar
- Belum bersedia untuk belajar.
- Perbendaharaan kata kurang.
5. Pengamatan
- Tidak kenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
- Lemah pendengaran bunyi dan rentak.
6. Mengenal pasti Murid Pemulihan Khas
- Melalui perbincangan dengan guru kelas atau guru mata pelajaran.
- Rekod-rekod prestasi
- Rekod kesihatan
- Kerja-kerja harian murid
- Laporan Adab Belajar ( LAB )
- Melalui pemerhatian
Fungsi guru dalam menjayakan kelas pemulihan
Setiap dari mereka mempunyai ciri-ciri yang berbeza, begitu juga dengan tahap kecergasan dan IQ mereka. Sekolah diberi tugas untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Guru yang bersifat
penyayang dan membimbing murid- murid dengan penuh dedikasi akan menjadi “role model” untuk membentuk personaliti mereka yang positif. Seorang guru yang sensitif dan peka akan mengenal pasti personaliti seseorang murid melalui pemerhatian dan interaksi dengan murid-muridnya. Oleh itu, satu peranan guru yang sangat penting ialah menolong membentuk personaliti baik dalam diri setiap orang murid. Guru jangan sekali-kali merendahkan kemampuan murid dan mematahkan semangat dan minat murid untuk belajar lagi. Selain itu, guru juga perlu memastikan murid- murid introvert ini sentiasa terlibat dalam aktiviti kumpulan.
Penerapan kaedah inkuiri-penemuan
Merujuk kepada pengajaran murid pemulihan yang mempunyai ciri-ciri introvert, ekstrovert dan ambivert, guru boleh menggunakan salah satu daripada teknik-teknik berikut seperti pengajaran kumpulan kecil dan pengajaran rakan sebaya. Ekstrovert boleh dikelaskan sebagai individu yang gemar kepada kegembiraan,suka berseronok,releks,aktif dan suka bercampur gaul dengan rakan serta masyarakat. Introvert pula bermaksud individu yang pendiam,pasif,terlampau banyak berfikir dan kurang bertindak serta tindak tanduknya yang kurang mahu menanggung risiko. Ambivert pula ialah ciri personalaiti yang dipunyai oleh seseorang yang kurang jelas sama ada berpihak kepada ekstrovert atau introvert.
Pengajaran kumpulan kecil dapat dilakukan apabila guru membentuk kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid-murid yang menghadapi masalah yang sama walaupun memiliki personaliti yang berbeza. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan.
Pengajaran rakan sebaya pula terbahagi kepada dua iaitu guru boleh menetapkan seorang murid cepat untuk membimbing dan guru juga boleh memilih seorang murid yang terbaik di kalangan murid pemulihan untuk menggantikan guru mengajar rakan-rakan yang lain.Bagi penggunaan kaedah menetapkan seorang murid cepat untuk membimbing, seorang atau lebih rakannya yang bermasalah dengan menggunakan bahan yang disediakan dan melakukan aktiviti yang guru tetapkan. Melalui pengajaran individu, guru boleh menumpukan perhatian kepada seorang murid tertentu dan membimbingnya untuk mengatasi masalah yang dihadapi menggunakan bahan-bahan yang disediakan.
Untuk memperoleh keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang optimum, guru harus mengenal pasti gaya pembelajaran muridnya dan menggunakan strategi yang sesuai seperti mengikut ciri-ciri personaliti murid tersebut. Bagi murid pemulihan khas, guru harus sedar bahawa setiap orang murid mempunyai tahap kemahiran yang tidak sama. Ini menuntut berbagai-bagai jenis cara pembelajaran untuk mencapai keputusan yang maksimum.
PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA (PENGAYAAN)
Penekanan program ini adalah untuk memberi aktiviti-aktiviti tambahan kepada murid-murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada itu. Dalam program pengayaan, murid-murid akan dapat meluaskan pengetahuan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan unit pembelajaran berkenaan secara mendatar.
Konsep Pengayaan
Konsep ini mengambil kira bahawa murid-murid yang pintar dan cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat.
Objektif Pengayaan
Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka. Selain itu aktiviti ini juga dapat membuatkan murid berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta melahirkan daya kreativiti menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri.
Prinsip-prinsip Program Pengayaan
Dalam menyediakan aktiviti pengayaan, prinsip-prinsip perlu diterapkan di dalam aktiviti tersebut bagi memudahkan pelajar untuk memahami sesuatu pengajaran yang diajarkan. Melalui kaedah ini, ia mengandungi arahan yang jelas supaya murid boleh melakukannya sendiri. Dalam aktiviti pengayaan tersebut, ia mestilah menarik, mencabar dan sesuai dengan kebolehan, minat dan bakat murid yang berbeza-beza.
Rasional Pengayaan
Antara rasional pengayaan adalah guru akan mengelaskan murid mereka dengan kumpulan-kumpulan sama ada secara diketahui umum ataupun hanya diketahui oleh guru sahaja. Selain itu, dalam rasional pengayaan juga ianya dibahagikan kepada tiga iaitu kumpulan yang cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lambat. Kumpulan cerdas dan kumpulan sederhana akan berasa bosan terhadap pelajaran kerana aktiviti pembelajaran adalah tidak sejajar dengan minat dan perkembangan mental mereka.
Jenis Pengayaan
Pengayaan dapat dibahagikan kepada dua kategori. Antara pengayaan tersebut adalah pengayaan mendatar dan pengayaan menegak.
a) Pengayaan mendatar
Pengayaan mendatar adalah aktiviti yang berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan. Aktiviti melalui pengayaan mendatar ini adalah ianya akan dirancang dan dilaksanakan berdasarkan kepada taraf pencapaian murid. Selain itu, murid di dalam kumpulan yang lambat akan diberikan aktiviti pengayaan yang lebih mudah dan mencabar. Ianya berbeza dengan aktiviti yang diberikan kepada kumpulan sederhana dan cerdas. Tujuan pengayaan mendatar ini dilaksanakan adalah untuk memperkukuhkan kemahiran yang telah dikuasai.
b) Pengayaan menegak
Pengayaan menegak adalah aktiviti yang berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja. Berdasarkan kepada konsep pengayaan menegak ini, aktiviti akan dirancang dan dilaksanakan dalam bentuk yang lebih kompleks, mencabar dan dalam peringkat yang lebih tinggi daripada pencapaian murid darjah biasa. Secara tidak langsung ini dapat mewujudkan kegembiraan, mencungkil bakat dan kaerjasama sesama mereka.
Strategi Pelaksanaan Aktiviti Pengayaan
Mengikut rancangan KBSR dan KBSM, aktiviti pengayaan boleh dilaksanakan dengan tiga cara. Cara yang pertama adalah aktiviti pengayaan untuk semua murid melalui kumpulan mengikut kebolehan. Seterusnya, aktiviti kumpulan menjalankan aktiviti pengayaan bersama-sama dengan kumpulan menjalankan aktiviti pemulihan serta aktiviti pengayaan adalah untuk semua melalui kumpulan pelbagai kebolehan.
Cara-cara mengelolakan Aktiviti Pengayaan
Terdapat beberapa cara bagi mengelolakan aktiviti bagi pengayaan ini. Antaranya adalah ianya dijalankan secara tidak formal dan tidak dimasukkan di dalam jadual waktu tetap sekolah. Tambahan pula, bimbingan guru juga mestilah pada tahap yang minima kerana aktiviti pengayaan adalah bercorak belajar kendiri. Setelah itu, hasil aktiviti dibincangkan dengan guru atau rakan sebaya. Kemudian, guru akan memberi ganjaran supaya murid-murid merasasi yang semua usaha mereka hargai. Dalam pengajaran ini, pelajar yang lambat menguasai kemahiran tidak diberikan program pengayaan.
PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA (BERKEPELUAN KHAS)
Semua manusia tidak memiliki kesempurnaan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial. Mereka dikenali sebagai pelajar berkeperluan khas.
Pelajar pintar cerdas
Pelajar pintar cerdas seringkali dikaitkan dengan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan intelek dan kecerdasan yang tinggi. Menurut Ross (1993), pelajar pintar cerdas didefinisikan sebagai pelajar yang dikenal pasti semasa pra sekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah yang menunjukkan prestasi bakat yang cemerlang atau menunjukkan potensi untuk melakukan pencapaian di tahap yang sangat tinggi berbanding dengan rakan sebaya yang lain.
Ciri-ciri pelajar pintar cerdas adalah seperti mempunyai perbendaharaan kata yang lebih luas berbanding rakan-rakan yang lain, mempunyai kematangan dari segi penggunaan istilah, keistimewaan dalam matematik, mencari kesempurnaan kendiri, tidak mudah berpuas hati dengan jawapan yang mudah dan petah berkomunikasi. Pelajar pintar cerdas ini boleh dikaitkan dengan Teori Hierarki Keperluan Maslow. Hal ini kerana, keperluan manusia merupakan unsur yang diperlukan untuk memenuhi kekurangan manusia sama ada dari aspek fizikal, rohani dan sosial.
Kurikulum untuk pelajar pintar cerdas sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah adalah berasaskan kepada kurikulum akademik. Antara kurikulum yang berkaitan dengan pelajar pintar cerdas perlu memasukkan proses berfikir secara kritis dan kreatif. Kurikulum istimewa untuk pelajar pintar cerdas harus melibatkan kedua-dua bidang antara orientasi dan disiplin. Perkara ini kerana pelajar pintar cerdas patut meneroka isu-isu ilmu dan pengetahuan.
Selain itu, pemilihan gaya pembelajaran dan pengajaran pelajar pintar cerdas juga perlu diambil kira. Hal ini kerana kualiti pengajaran yang baik akan mencapai prestasi yang baik kepada pelajar. Prestasi yang baik ini akan dibawa bersama oleh pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Antara pemilihan gaya pembelajaran dan pengajaran yang sesuai untuk pelajar berkeperluan khas adalah seperti fungsi pembelajaran adalah melebihi tahap dalaman pelajar dengan menggunakan kaedah pembelajaran formal dan tidak formal dalam pembelajaran. Dengan adanya pemilihan gaya pembelajaran ini, pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar pintar cerdas akan meningkat.
Autisme
Sebagaimana individu yang lain, pelajar-pelajar autisme juga berhak untuk mendapatkan pendidikan yang sesuai dengan keupayaan dan keperluan mereka. Mengikut Persatuan Autisme Malaysia (NASOM), autisme bermaksud kecelaruan neurologikal otak sehingga menjejaskan fungsi otak dalam aspek-aspek kognitif, bahasa dan komunikasi, sosial dan emosi. Walau bagaimanapun, pelajar autisme ini boleh mendapatkan pendidikan melalui tiga cara mengikut tahap masalah yang mereka hadapi. Bagi pelajar autisme ini mereka boleh mendapatkan pendidikan sama ada pendidikan di sekolah kerajaan, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pusat pendidikan swasta. Setiap sekolah ini memberikan pendidikan yang berbeza kepada pelajar mengikut tahap masalah yang dihadapi oleh mereka.
Dari segi pembelajaran pula, pelajar autisme ini boleh dididik melalui program bersepadu dan terancang. Pembelajaran secara bersepadu ini adalah disebabkan oleh kepelbagaian masalah lain seperti masalah tingkah laku, emosi, komunikasi, sosial dan kognitif. Bagi mencapai objektif pembelajaran pelajar autisme ini guru-guru haruslah mengadakan hubungan yang baik antara ibu bapa pelajar. Hal ini kerana, kemahiran dan pendekatan yang diajar di sekolah akan diaplikasikan oleh ibu bapa di rumah terhadap anak-anak yang menghidap autisme ini.Guru haruslah bekerjasama dengan ibu bapa untuk menghentikan tingkah laku yang kurang sesuai tersebut.
Selain itu, pendidikan inklusif juga perlu dijalankan terhadap pelajr autism ini. Melalui program ini, pelajar autism yang menunjukkan pretasi yang baik di dalam kelas akan mendapat peluang untuk meningkatkan lagi keupayaannya. Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelas normal bersama-sama denga pelajar yang lain. Pelajar-pelajar autism ini boleh belajar bersama-sama dengan rakan-rakan sebaya mereka yang normal. Sewaktu di awal kemasukkan mereka ke dalam kelas pelajar normal, mereka akan ditemani oleh guru pendidikan khas supaya pelajar ini tedapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Justeru itu, pelajar autism ini dapat diatasi dalam pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Oleh sebab itu, kerjasama antara ibu bapa dan guru amatlah digalakkan terutamanya dalam menyediakan maklumat yang berkaitan dengan anak-anak mereka.
Disleksia
Disleksia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami masalah membaca yang amat serius. Istilah lain yang digunakan untuk mengambarkan masalah ini ialah buta huruf. Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan masalah urat saraf. Pelajar yang mengalami masalah disleksia ini biasanya berpunca dari kecelaruan pada bahagian otak. Masalah disleksia ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu disparaxia (masalah koordinasi motor-mata-tangan), diskalkulia (merujuk kepada masalah matematik) dan disgrafia (merujuk kepada bahasa).
Bagi mengatasi masalah pelajar disleksia ini pendekatan multi sensori merupakan pendekatan yang paling sesuai. Hal ini kerana pendekatan multi sensori menggabungkan beberapa deria seperti deria rasa atau sentuhan, penglihatan, pendengaran dan pergerakan. Deria-deria ini dijalankan serentak bagi memudahkan kaedah pengajaran terhadap pelajar disleksia.
PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA (TEORI KECERDASAN PELBAGAI)
Teori kecerdasan pelbagai telah diasaskan oleh Dr Howard Gardner pada tahun 1983. Dr Howard Gardner merupakan seorang profesor pendidikan di Harvard Universiti. Menurut beliau, kaedah lama untuk mengukur tahap kecerdasan manusia iaitu melalui ujian IQ adalah terlalu terhad. Tambah beliau lagi, ianya bukanlah cara yang baik kerana ianya hanya tertumpu terhadap penekanan kepada kecerdasan logikal matematik dan bahasa sahaja. Oleh yang demikian beliau telah memperkenalkan teori kecerdasan pelbagai berasaskan kajian beliau terhadap pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai kriteria tersendiri termasuklah kanak-kanak biasa dan kanak-kanak istimewa. Menurut Dr Howard Gardner kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan, suasana pembelajaran dan banyak lagi. Oleh yang demikian Dr Howard Gardner telah memperkenalkan sembilan jenis kecerdasan untuk mengukur tahap kecerdasan seseorang individu. Beliau berpendapat bahawa cara yang terbaik adalah dengan melihat individu menyelesaikan masalah dan menganalisis proses yang digunakan.
Dalam teori kecerdasan pelbagai ini, ianya mempunyai beberapa ciri-ciri tertentu yang telah dikemukakan oleh Dr Howard Gardner. Antara ciri-ciri yang terdapat dalam kecerdasan pelbagai ialah setiap individu mempunyai sembilan kecerdasan. Kecerdasan-kecerdasan tersebut boleh dipelajari, dididik dan dipupuk dan dipertingkatkan melalui pelbagai cara. Selain itu juga, kecerdasan ini tidak berkembang seiring dengan kecerdasan-kecerdasan yang lain. kecerdasan-kecerdasan ini sebenarnya tidak boleh dinilai secara berasingan. Selain itu juga, antara ciri-ciri kecerdasan pelbagai ialah satu atau dua kecerdasan tersebut boleh berkembang sepenuhnya. Ini bermakna setiap pelajar boleh mengembangkan satu atau dua kecerdasan dalam diri mereka .
Kecerdasan-kecerdasan ini boleh dirangsang. Ini bermakna kecerdasan yang ada dalam setiap individu itu boleh dirangsang malah boleh diperkembangkan. Selain itu, ciri-ciri terakhir yang ada pada teori kecerdasan pelbagai ini ialah kecerdasan ini boleh dipindah. Ini bermakna sekiranya seseorang individu itu mempunyai sesuatu kecerdasan ianya boleh dipindahkan kepada kecerdasan yang lain. contohnya ialah memindahkan kecerdasan daripada kecerdasan kinestetik badan kepada kecerdasan muzik. Seperti yang kita ketahui terdapat sembilan jenis kecerdasan pelbagai iaitu kecerdasan logik- matematik, kecerdasan verbal-linguistik, kecerdasan kinetetik badan, kecerdasan muzik, kecerdasan ruang visual, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan naturalis, dan kecerdasan eksistensialis.
Kepentingan Ilmu Kecerdasan Pelbagai
Seperti yang kita ketahui, ilmu tentang teori kepentingan pelbagai sangat penting kepada seseorang guru bagi mengenalpasti kecerdasan yang ada dalam diri pelajar. Kebanyakan guru yang hanya menekankan aspek kognitif sahaja iaitu kecerdasan verbal-linguistik, kecerdasan ruang dan logik-matematik ketika proses pembelajaran dan pengajaran. Manakala kecerdasan yang bukan kognitif seperti kecerdasan muzik, kecerdasan kinestetik, kecerdasan interpersonal dan kecerdasan intrapersonal kurang diberi penekanan dalam sesi pembelajaran dan pengajaran. Kaedah pengajaran yang agak membosankan serta penggunaan kaedah pengajaran yang sama menjadikan seseorang pelajar mudah jemu dan tidak berminat untuk belajar. Oleh yang demikian teori kecerdasan yang diketengahkan oleh Dr Howard Gardner ini mampu membantu para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar ia menjadi lebih menarik seterusnya mampu menarik minat para pelajar untuk belajar dengan penuh motivasi dan semangat.
Dalam teori kecerdasan pelbagai ini, terdapat sembilan jenis kecerdasan yang mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza-beza. Oleh yang demikian ianya mampu membantu guru dalam pelbagai perkara antaranya membantu para guru dalam memahami faktor yang mengaktifkan atau menghalang perkembangan kecerdasan, kebolehan dan bakat yang dipengaruhi oleh pengalaman hidup seseorang pelajar. Sekiranya para guru mampu memahami faktor yang mengaktifkan diri pelajar, ianya akan memberi kelebihan kepada seseorang guru itu dalam menyediakan teknik pengajaran yang lebih berkesan. Selain itu juga para guru juga dalam mencetuskan satu pengalaman baru dalam diri pelajar yang boleh mencetuskan kecerdasan yang terpendam dalam diri seseorang pelajar itu seterusnya meningkatkan kecerdasan itu kepada peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu juga, ilmu kecerdasan pelajar juga turut membantu guru dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian ini mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif. Selain itu juga, ia turut melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang. Guru juga boleh menggunakan pendekatan baru dalam menyanpaikan ilmu serta pengetahuan kepada anak didik mereka. Para guru juga seharusnya menggunakan pendekatan alat bantu mengajar daripada bahan ICT yang mampu mendatangkan keseronokan dalam diri pelajar untuk mendalami sesuatu ilmu seperti penggunaan internet,penggunaan video dan lain-lain lagi. Kepelbagaian kaedah ini dapat mengurangkan pelajar berasa bosan.
Selain itu, ia turut membantu guru dalam meberikan kefahaman kepada para guru bahawa kaedah pengajaran yang pelbagai ini mampu mengembangkan kecerdasan yang berbeza. Contohnya, sekiranya seseorang guru itu memberikan kerja berkumpulan kepada seseorang pelajar itu, ianya dapat memberikan rangsangan serta meningkatkan kecerdasan interpersonal dan verbal-linguistik. Pelajar juga mampu memahami perasaan, tabiat, motivasi, dan hasrat orang lain melalui interaksi dan komunikasi sesama mereka secara tidak langsung. Mereka juga akan mampu berkomunikasi dengan lebih baik melalui aktiviti-aktiviti melalui pendengaran atau pertuturan dalam kumpulan mereka. Dengan ini mereka mampu meningkatkan kemahiran sosial mereka selain membantu mereka berkomunikasi dengan baik.
Ilmu kecerdasan pelbagai juga mampu membantu guru dalam menyediakan pelbagai kaedah pembelajaran yang sukar dilupakan dan seterusnya ianya membatu pelajar dalam pembelajaran mereka dengan lebih baik. Menurut teori ini, jika seseorang guru dapat menyediakan suatu modul pembelajaran yang ringkas dan padat serta boleh difahami oleh semua pelajar yang terdiri daripada pelajar yang mempunyai pelbagai jenis kecerdasan yang berbeza, maka minat terhadap diri pelajar akan bertambah setiap hari. Ini bermakna ia juga turut membantu pelajar dalam memudahkan ingatan tentang ilmu dan perkara yang dipelajari.
Di samping itu juga, ilmu kecerdasan pelbagai ini menuntut agar guru memberikan tunjuk ajar dan panduan kepada pelajar tentang cara menggunakan sepenuhnya kecerdasan yang ada dalam diri mereka. Ini bermakna, seseorang guru boleh mengembangkan kecerdasan yang ada dalam diri seseorang pelajar sepenuhnya. Seseorang pelajar akan cenderung mengetahui minat, kebolehan serta kecerdasan yang ada dalam diri mereka sekiranya seseorang guru itu mengaplikasikan teori kecerdasan pelbagai dalam pembelajaran dan pengajaran mereka. Kesedaran pelajar tentang potensi diri yang ada dalam diri mereka amat penting kerana ia mampu membantu pelajar dalam mengembangkan bakat yang ada dalam diri mereka. Malah pelajar juga mampu menggunakan pendekatan yang sesuai dalam mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka. Sekiranya seseorang pelajar mempunyai minat yang tinggi terhadap sesuatu pelajaran, ianya sudah pasti akan memberikan hasil yang memberangsangkan sekiranya minat tersebut dikembangkan.
Comments
Post a Comment